Kuantan, 14 Disember 2025 – Permata Camar Nadwah telah mengadakan ziarah takziah dengan membawa anak-anak penghuni ke kediaman Dr Fatmawati bagi menziarahi beliau yang baru sahaja kehilangan suami tercinta.
Kehadiran anak-anak penghuni ke kediaman Dr Fatmawati bukan sahaja sebagai tanda sokongan dan simpati, malah turut memberi ketenangan serta mengubat rasa dukacita beliau. Dr Fatmawati yang lebih dikenali sebagai seorang pendidik dan disayangi oleh anak-anak Permata Camar menerima kunjungan tersebut dengan penuh rasa syukur.
Majlis tahlil telah dipimpin oleh Ustaz Mohd Hadzmie Ramli dan turut dihadiri oleh Setiausaha Permata Camar, Abdul Rahman Abdullah bersama ahli keluarga Dr Fatmawati. Turut serta ialah Ahli Jawatankuasa Permata Camar, Ahmad Shafiq Abdul Rahman.
Dalam suasana penuh hiba dan keinsafan, warga Permata Camar bersama ahli keluarga arwah telah bersama-sama bertahlil dan mendoakan agar roh arwah dicucuri rahmat Allah SWT, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman.
Pihak Permata Camar merakamkan ucapan takziah kepada Dr Fatmawati dan keluarga, serta berharap agar beliau diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian ini.