Kuantan, 23 Januari 2026 – Satu Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil telah diadakan pada malam ini khas buat Almarhumah Damia Hasha Binti Mohd Riduan sebagai tanda doa dan penghormatan terakhir.
Pada awalnya, majlis ini dirancang sebagai solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan beliau. Namun, sebelum masuk waktu Maghrib, Allah SWT telah menjemput Almarhumah kembali ke rahmatullah. Sehubungan itu, majlis diteruskan dengan bacaan Yasin dan Tahlil bagi mendoakan kesejahteraan roh Almarhumah.
Alhamdulillah, majlis pada malam tersebut turut diserikan dengan jamuan istimewa kepada anak-anak Permata Camar hasil daripada sumbangan para penderma. Selain itu, sambutan hari lahir turut diadakan bagi penghuni yang lahir pada bulan ini, sekali gus menceriakan suasana dan mengukir senyuman di wajah anak-anak.
Majlis ini turut dihadiri oleh wakil penaja, Siti Hajar Shaari bersama sahabat beliau bagi sama-sama meraikan anak-anak Permata Camar.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada para penderma serta semua pihak yang terlibat. Semoga segala kebaikan dan sumbangan yang diberikan dikurniakan rezeki yang melimpah ruah, dibalas dengan sebaik-baik balasan serta dikurniakan kemuliaan dan keistiqamahan dalam melakukan kebajikan.