Kuantan, 12 Disember 2025 – Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI bagi Kampung Cempaka, Kuantan telah berlangsung dengan penuh meriah dan disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi bin Tan Sri Abd. Razak, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang.
Majlis yang diadakan di Dewan Permata Camar itu turut menghimpunkan penduduk setempat serta pihak berkepentingan dalam menjayakan inisiatif pembangunan komuniti tersebut. Projek Kampung Angkat MADANI ini telah memberikan impak yang besar kepada penduduk kampung, khususnya golongan nelayan pantai, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan hidup masyarakat setempat.
Selain manfaat kepada penduduk kampung, limpahan hasil projek ini turut dinikmati oleh Permata Camar Nadwah yang beroperasi di kawasan tersebut. Antara sumbangan yang diterima termasuk beberapa buah perabot baharu, sebuah televisyen pintar (smart TV), beberapa set kerusi batu serta pelbagai kelengkapan lain bagi kegunaan kemudahan sedia ada.
Pihak Permata Camar Nadwah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang serta semua pihak yang terlibat atas sokongan dan keprihatinan yang diberikan. Diharapkan inisiatif seumpama ini dapat diteruskan demi memperkasa pembangunan komuniti dan kebajikan masyarakat setempat secara berterusan.