Perutusan YDP

PERUTUSAN YANG DIPERTUA
PERSATUAN KEBAJIKAN ANAK YATIM PAHANG (PEKAYA)

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, Persatuan Kebajikan Anak Yatim Pahang terus dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab dalam menjaga kebajikan serta memperjuangkan hak anak-anak yatim di negeri ini.

Saya gembira PEKAYA mendapat sokongan daripada semua pihak, bagi membolehkan kebangkitan baru dan bergerak bersama Rumah Anak Yatim seluruh negeri, demi masa depan anak anak yatim yang dikasihi. Saya juga menyedari, disebalik pencapaian yang ada, terdapat juga kelemahan kami dalam mengharungi liku perjuangan ini. Masyarakat masih perlu diperkasakan lagi jika kita mahu golongan anak yatim ditingkatkan daya juang yang lebih cemerlang.

Persatuan ini telah menjalinkan kerjasama yang erat dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, agensi-agensi kebajikan, badan korporat dan para dermawan yang ikhlas. Tanpa sokongan mereka, mustahil bagi kami untuk mencapai segala inisiatif yang dirancang. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kepercayaan serta sumbangan yang diberikan.

Saya juga ingin mengajak seluruh masyarakat untuk terus menyokong usaha murni ini. Marilah kita bersama-sama menjadi penyambung kasih kepada anak-anak yang kehilangan tempat bergantung. Sesungguhnya, menjaga kebajikan anak yatim adalah satu amalan yang amat mulia di sisi agama dan masyarakat.

Akhir kata, saya menyeru kepada semua ahli persatuan untuk terus komited dalam perjuangan ini. Semoga segala usaha kita diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT.

Sekian, terima kasih.
Wassalam.

Yang benar,

YH Dato’ Sri Haji Ishak bin Haji Muhamad
Yang Dipertua PEKAYA Pahang