Sejarah Penubuhan TPSHAS & AY-M – Persatuan Kebajikan Pengurusan dan Pendidikan, Akademi Yayasan Al-Sultan Abdullah – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Akademi YASA-MUIP), dahulunya dikenali sebagai Taman Pengasih Sultan Haji Ahmad Shah (TPSHAS), ditubuhkan atas titah ilham dan keprihatinan KDYMM Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah. Penubuhan institusi ini bertujuan untuk membantu anak-anak yatim dan asnaf di Negeri Pahang dengan menyediakan pendidikan yang lengkap dan holistik, agar mereka dapat menjadi individu yang berilmu, bertakwa, dan mampu memberi harapan kepada keluarga, agama, bangsa serta negara. Majlis perasmian TPSHAS telah disempurnakan oleh Almarhum KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah pada 12 Mac 2013.
Pada tahun 2021, TPSHAS telah dijenamakan semula sebagai Akademi YASA-MUIP dengan misi baharu, iaitu melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum. Walau bagaimanapun, fungsi asal penubuhan untuk menjaga kebajikan anak-anak yatim dan asnaf tetap dikekalkan. Kini, Akademi YASA-MUIP berperanan sebagai pusat jagaan dan pendidikan bagi anak-anak yatim, asnaf serta golongan kurang berkemampuan dari seluruh Negeri Pahang. Matlamat penubuhannya adalah untuk memperkasa golongan ini agar mereka dapat menikmati peluang pendidikan yang berkualiti secara menyeluruh.
Akademi ini kini berada di bawah naungan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah. Selain itu, Akademi YASA-MUIP turut menerima sokongan dan tajaan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA), pelbagai agensi kerajaan, serta syarikat-syarikat korporat.