KUANTAN, 1 Februari 2026 —Satu program kecergasan dan pembinaan jati diri yang disusun oleh Exco Sukan Penghuni Rumah Anak Yatim dan Miskin Permata Camar Nadwah telah berjaya dilaksanakan dengan baik, walaupun berdepan cabaran cuaca apabila hujan renyai mengiringi perjalanan di atas bukit.
Persiapan anak-anak bermula seawal sebelum Subuh, dengan mengenakan pakaian sukan. Program dimulakan dengan solat Subuh berjemaah dan bacaan al-Ma’thurat, sebelum anak-anak bergegas menaiki van untuk bergerak ke lokasi pendakian. Dengan iringan dan pemantauan para warden, anak-anak tetap meneruskan langkah sehingga berjaya tiba di puncak yang menjadi sasaran.
Sebelum pendakian bermula, satu sesi regangan badan telah dijalankan bagi memastikan keselamatan dan kesediaan fizikal. Puncak yang jelas di hadapan mata menjadi simbol matlamat, manakala semangat yang berkobar serta tekad yang satu menjadi kekuatan utama sepanjang perjalanan.
Sebagai penutup program, anak-anak telah diraikan dengan sarapan pagi di Pantai Gelora, Kuantan, sebagai tanda penghargaan atas usaha, disiplin dan semangat juang yang ditunjukkan.
Program ini bukan sahaja menguji ketahanan fizikal, malah membina disiplin diri, kerjasama dan kekuatan mental, selari dengan usaha berterusan Permata Camar dalam melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani dan rohani.

