
KUANTAN, 7 Mac 2026 – Kompleks Anak Yatim dan Miskin Permata Camar, Kuantan telah menyertai Program STEM dan Majlis Iftar Ramadan bersama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang berlangsung pada hari ini bersamaan 18 Ramadan 1447H.
Program yang dianjurkan oleh pihak UMPSA ini telah diadakan di Al-Jaafar Centre dengan penglibatan anak-anak dari Kompleks Anak Yatim dan Miskin Permata Camar bagi memberi pendedahan kepada mereka dalam bidang sains dan teknologi.
Sepanjang program berlangsung, para peserta terlebih dahulu dibahagikan kepada beberapa kumpulan sebelum menjalani aktiviti bermain robot secara berkumpulan yang memberi pengalaman pembelajaran secara interaktif dan menyeronokkan. Program kemudiannya diteruskan dengan majlis iftar serta solat terawih berjemaah bersama para peserta dan penganjur.
Program ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada anak-anak mengenai dunia robotik serta mengasah bakat dan pemikiran mereka dalam menyelesaikan sesuatu perkara. Di samping itu, program ini juga bertujuan mencungkil minat serta menyemai semangat kesungguhan dalam menimba ilmu, agar mereka lebih berusaha mencapai kejayaan pada masa hadapan.
Pihak Kompleks Anak Yatim dan Miskin Permata Camar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) atas penganjuran program yang bermanfaat ini. Semoga segala usaha dan sumbangan yang diberikan menjadi saham akhirat serta dilimpahkan keberkatan dan kebaikan yang berpanjangan kepada semua yang terlibat.